Kena Tangkap Lepas Kantoi Rakam Bawah Skirt Wanita

Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai merakam bahagian bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dalam satu kejadian pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 5 petang apabila seorang wanita melihat suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek yang membawa beg kertas didapati mempunyai lubang di bahagian bawah.

“Mangsa mengesyaki suspek merakam sesuatu di bawah skirt mangsa. Dia kemudian mengekori suspek dan merampas beg kertas terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Abd Khalid berkata, mangsa mendapati terdapat satu telefon pintar di dalam beg kertas dalam keadaan sedang membuat rakaman video.

Mangsa kemudiannya meminta bantuan daripada polis bantuan untuk membawa suspek ke Balai Polis Bandar Sunway.

Suspek yang berusia 38 tahun dan bekerja sebagai jurujual kini direman sehingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

BBerkaitan

Latest articles