KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Temerloh hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah menampar isterinya sebanyak dua kali.
Tertuduh, Shahrul Irzuan Alwi, 37, dijatuhkan hukuman penjara ketika membuat pengakuan berkenaan semasa prosiding di hadapan Majistret Tan Chiew King.
Sehubungan itu Shahrul Irzuan menjalani hukuman pemenjaraan bermula tarikh dia ditahan sejak 18 Februari lalu.
Berdasarkan fakta kes, Shahrul didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isteri dengan menampar pipi sebelah kanan di Felda Jenderak Utara Kuala Krau di sini dalam kejadian 8 Januari lalu pada pukul 8.30 malam.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis selepas diperlakukan sedemikian oleh suaminya, berpunca dari suspek mengetahui isterinya memfailkan kes cerai di Mahkamah Syariah.
Mangsa turut mendakwa tertuduh seorang panas baran dan sering bergaduh dalam tempoh perkahwinan.
Shahrul Irzuan dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, pesalah hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum.