Kempen Fitnah Kembali Berulang Pada PRN Johor – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan bahawa gabungan itu akan sekali lagi berdepan berdepan dengan kempen berbaur fitnah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ujarnya, lawan BN dan UMNO akan menggunakan strategi itu sebagai sasaran untuk mewujudkan kebencian rakyat.

“Daripada fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman, percayalah itu cuma mukadimah.

“Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat.

“Namun mungkin ada hikmah di sebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka yang menghembuskan penipuan dan pembohongan.

“Rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca. Yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut percaya, PRN Johor mungkin menjadi medan utama kepada parti pesaing untuk menyekat kebangkitan dan kemaraan BN.

“Bagaimanapun muslihat mereka pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat.

“Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles