KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah hari ini terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas dakwaan memfitnahnya dalam satu ceramah kempen pilihan raya di Tambun, Perak pada 13 November lalu.
Saman itu telah difailkan melalui Tetuan SN Nair & Partner di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi sebagai defendan tunggal.
Dalam penyataan tuntutan, Anwar mendakwa Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah didakwa memfitnahnya dalam satu ceramah kempen pilihan raya sebagai menyokong calon PN Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dakwa Anwar sebagai plaintif, dalam ceramah itu, antaranya membawa maksud beliau telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya selain merupakan seorang pembohong.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun mendakwa ceramah itu membawa maksud beliau telah mengkhianati mandat rakyat selain seorang penjenayah walaupun pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Anwar mendakwa ucapan itu kemudian diterbitkan dan disiarkan secara siaran langsung melalui laman sosial Facebook di bawah nama ‘Faizal Azumu’.
Ceramah itu kemudian mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen setakat tarikh pemfailan saman itu.