Kempen Earth Clean Challenge semai kesedaran jaga alam sekitar di Kampung Pangkalan Laut

KUNAK: Lebih 100 sukarelawan berganding bahu membersihkan kawasan Kampung Pangkalan Laut menerusi Kempen Earth Clean Challenge, satu inisiatif komuniti yang bertujuan memupuk budaya kebersihan dan kelestarian alam sekitar dalam kalangan penduduk setempat.

Program yang dikenali juga sebagai Program Bersih Kampung Pangkalan itu dianjurkan oleh Ma’haad Tahfiz Ashabul Yamin dan ditaja sepenuhnya oleh Datuk Seri Dr. Anil Sandhu. Ia turut disertai pelajar-pelajar tahfiz, Sahabat YPM, pelajar tingkatan enam serta penduduk tempatan.

Menurut Pengasas Ma’haad Tahfiz Ashabul Yamin, Ustaz Junaidy @ Jeffrey Abdul Nasir, program tersebut bukan sekadar aktiviti gotong-royong tetapi usaha berterusan untuk menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup masyarakat kampung.

“Kampung Pangkalan Laut ini ialah kampung saya sendiri. Kebanyakan pelajar tahfiz juga berasal dari sini. Alhamdulillah, tahun ini kita laksanakan semula program ini dengan harapan dapat mengubah landskap kebersihan kampung,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif itu sejajar dengan tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi, SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim, dan SDG 14: Kehidupan di Bawah Air.

Sementara itu, wakil Sahabat YPM, Nurgajir Noor menegaskan program berkenaan tidak bermotifkan politik sebaliknya bertujuan mendidik masyarakat tentang pentingnya tanggungjawab sivik terhadap kebersihan.

“Ini bukan kerana pilihan raya semakin dekat. Kami telah melaksanakan program seperti ini sebelum ini. Tujuannya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

“Kita mahu mendidik masyarakat supaya berasa tanggungjawab menjaga kebersihan demi keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita,” tambahnya.

Program sehari itu turut diisi dengan aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan pantai, sungai dan kemudahan awam sekitar kampung, di samping ceramah kesedaran alam sekitar.

BBerkaitan

Latest articles