Kementerian Pendidikan Tepis Dakwaan Perubahan Jadual Sekolah Sepanjang Bulan Ramadan

KUALA LUMPUR, Kementerian Pendidikan malam ini menepis dakwaan tidak bertanggungjawab yang tular di media sosial mengenai perubahan jadual persekolahan sepanjang bulan Ramadan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pengoperasian sekolah sepanjang bulan Ramadan akan berjalan seperti biasa, selaras dengan ketetapan tahun-tahun sebelumnya.

“Berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang masih berkuat kuasa, semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan di bawah KPM akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa. Namun, bagi memastikan kelancaran operasi sekolah dan keselesaan murid serta guru beragama Islam dalam menunaikan ibadah puasa, beberapa ketetapan telah dibuat,” menurut kenyataan itu.

Antara ketetapan yang diumumkan oleh KPM termasuk Sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan tamat lebih awal, iaitu pada jam 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, manakala jam 5.00 petang bagi Sabah, Sarawak, serta Wilayah Persekutuan Labuan manakala Sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang perubahan dalam jadual pembelajaran.

Dalam pada itu, KPM menasihatkan orang ramai agar hanya merujuk kepada sumber rasmi kementerian dan tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Semua pengarah pendidikan negeri serta pentadbiran sekolah diminta memastikan pematuhan kepada garis panduan yang telah ditetapkan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak KPM atau melayari laman sesawang rasmi kementerian.

BBerkaitan

Latest articles