Kementerian Luar Berjaya Angkat Imej Negara Di Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji peranan Kementerian Luar Negeri dalam memperkukuhkan imej Malaysia di pentas antarabangsa, selaras dengan usaha Kerajaan Madani.

Beliau berkata, kejayaan itu dapat dilihat melalui lawatan rasmi ke beberapa negara, termasuk dalam kalangan anggota ASEAN, yang menunjukkan prestasi cemerlang Wisma Putra.

“Terima kasih kepada warga Kementerian Luar yang telah mengangkat usaha dan ikhtiar membanggakan, walaupun dibebani dengan tugas lebih besar berbanding sebelum ini. Dari pengalaman saya dalam lawatan luar negara, saya melihat pencapaian yang bukan sahaja membanggakan saya, tetapi juga negara,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Luar, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Anwar turut menekankan bahawa kepimpinan Wisma Putra di bawah Mohamad Hasan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara lain.

“Saya tidak bergurau, ini nota serius. Apabila Perdana Menteri jemput, tidak semua duta hadir, tetapi apabila Menteri Luar yang menjemput, saya lihat ramai duta dan wakil negara luar hadir tanpa gagal. Ini membuktikan pengaruh dan kekuatan Menteri Luar,” ujarnya.

Majlis berbuka puasa itu turut dihadiri delegasi asing, yang berkesempatan beramah mesra dengan Perdana Menteri dan pemimpin Wisma Putra.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru semua pihak untuk menghayati makna sebenar Ramadan sebagai bulan penyucian spiritual dan pengukuhan nilai diri.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dalam menyambut Ramadan, dengan kepelbagaian kaum dan agama yang mengukuhkan semangat toleransi.

“Sejak kecil di Pulau Pinang, saya jarang melihat rakan-rakan saya makan di hadapan saya ketika saya berpuasa. Ini satu penghormatan dan menunjukkan pentingnya toleransi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperbaiki diri sepanjang Ramadan dengan mengamalkan disiplin dan nilai murni.

BBerkaitan

Latest articles