Kementerian Luar Bandar Lantik Lima Pengerusi Agensi Baharu

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini mengumumkan pelantikan lima pengerusi bagi  agensi di bawahnya.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA); Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif, Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); manakala Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR).

Turut dilantik Senator Datuk Razali Idris sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Yaa(ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA).

Kementerian itu berkata, pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira keupayaan kepemimpinan, pengalaman dan sumbangan mereka kepada rakyat dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kuasa melantik Pengerusi dan Lembaga Pengarah BBP oleh Menteri dinyatakan dalam Akta Tubuh agensi-agensi tersebut dan dibaca bersama dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998 “Menteri diberi kuasa dan tanggungjawab meluluskan pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun serta Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Eksekutif Perbadanan dan Anak Syarikat”.

Berdasarkan pekeliling tersebut, pelantikan Pengerusi dan Lembaga Pengarah di kalangan ahli politik, perlu mendapat persetujuan daripada YAB Perdana Menteri.

Untuk rekod KPLB mempunyai 7 Badan Berkanun Persekutuan (BBP) yang menjadi agensi pelaksana kepada semua perancangan dasar yang telah dibuat seperti berikut:

  1. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
  2. Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA);
  3. Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA);
  4. Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH);
  5. Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR);
  6. Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA); dan
  7. Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA)

BBerkaitan

Latest articles