Kemenangan Sock Tao Buktikan Melayu ‘Rela’ Bakal PM Bukan Bangsanya, Dakwa Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Ahad lalu menunjukkan pengundi Melayu kini lebih terbuka menerima wakil bukan Melayu di kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu.

Bahkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mengulangi kenyataan beliau bahawa tidak mustahil bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri.

“Di Kuala Kubu Baharu orang Melayu menunjuk mereka rela diwakili oleh bukan Melayu.

“Apa salahnya jika kita dapat Perdana Menteri bukan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahathir berkata demikian mengulas keputusan PRK Kuala Kubu Baharu yang mengangkat calon luar oleh Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang menewaskan calon Melayu Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dengan majoriti 3,869 undi.

Untuk rekod pada Disember 2018, Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri jika majoriti orang Melayu boleh menerima keadaan sedemikian.

Meskipun Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan seseorang Perdana Menteri dari bangsa apa, namun menurut Mahathir dinamik kaum di Malaysia akan menentukan jawatan utama kerajaan itu diterajui oleh kaum mana.

Beliau memberi contoh bagaimana Singapura boleh melantik Perdana Menteri mereka dari kaum Cina, memandangkan kaum itu adalah majoriti di sana.

Sebelum ini, Mahathir meramalkan calon PH akan menang pada PRK ini susulan perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu.

Pada Sabtu lalu, Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan tiga pencabarnya, iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu memperoleh 14,000 undi, sekali gus mempertahankan kerusi itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, PH memperoleh 14,862 undi, dengan majoriti 4,119 undi dalam pertembungan empat penjuru.

BBerkaitan

Latest articles