Kemenangan GPS Bukti Rekod Baik Diterima Rakyat

KUCHING: Pentadbiran yang cemerlang sebelum ini menjadi asas kemenangan buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berjaya memperolehi mandat sebanyak dua pertiga.

Menurut Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, kemenangan ini juga menunjukkan bahawa rakyat tempatan menolak parti kelahiran Semenanjung atau ‘parti luar’ untuk mentadbir Sarawak.

Sehubungan itu, setiap wakil rakyat yang menang dalam PRN Sarawak perlu memikul amanah rakyat dengan sebaik-baiknya.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS untuk terus menerajui dan mentadbir Sarawak, dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12).

“Penghargaan dan terima kasih juga kepada kesemua jentera parti yang bertungkus lumus serta bekerja keras di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi GPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat jam 10 malam tadi, GPS dipimpin Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg disahkan menang 60 kerusi iaitu melebihi dua pertiga kerusi DUN.

Fadillah berkata, semua ADUN yang menang diharap dapat memberi komitmen terbaik demi rakyat dan negeri itu.

“Mandat ini juga amanah rakyat bukan saja untuk ADUN GPS yang dipilih, malah untuk Ahli Parlimen GPS. Kami di peringkat Persekutuan juga akan terus memberikan khidmat terbaik demi Sarawak dan Malaysia.

“Semoga gelombang kemenangan ini akan berterusan dan membawa kemenangan lebih besar kepada GPS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img