Kemenangan GPS Bukti Rakyat Mahu Kerajaan Stabil

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengucapkan tahniah kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kemenangan besar parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, pada Sabtu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya bahawa kemenangan GPS menyerlahkan lagi kehendak rakyat yang mahukan kerajaan dipimpin oleh parti berpengalaman serta terbukti dalam mentadbir serta mengurus kebajikan rakyat.

“Tahniah GPS, Tahniah Abg Jo. BN merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memimpin GPS di atas kejayaan besar menguasai 76 kerusi dari 82 DUN yang dipertandingkan dalam PRN Sarawak ke-12.

“Peningkatan sebanyak empat kerusi dari 72 kerusi yang dimenangi semasa PRN ke-11,” katanya dalam kenyataan.

Kemenangan GPS disifatkan sebagai bergaya apabila meraih 76 kerusi, sekali gus memberi tamparan hebat ke atas Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan GPS itu mengatasi 72 kerusi yang diraih BN dalam PRN 11 pada tahun 2016.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) meraih empat kerusi, manakala DAP mendapat dua daripada tujuh kerusi yang dimenangi PRN 11.

Sementara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing kalah di semua 28 kerusi yang ditandingi.

Ujar Ahmad Zahid lagi, manifesto GPS iaitu “Demi Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak” juga selaras dengan manifesto BN di Melaka iaitu “Kestabilan Demi Kemakmuran” yang telah terbukti diterima rakyat.

Katanya, kestabilan politik adalah titik noktah kepada polemik politik yang berlaku dalam negara.

“Kemajuan negara akan lebih pesat jika politik stabil dan membawa kepada kemakmuran hidup, manakala kalau kerajaan rapuh pasti sukar menyusun perancangan untuk rakyat.

“Sudah sampai masanya, kita mendapat kerajaan yang stabil di peringkat Parlimen dengan mandat rakyat yang baharu. Kita perlu berganding bahu bersama mengembalikan Malaysia ke era yang gemilang.

“Hanya kerajaan yang stabil sahaja mampu memakmurkan negara dan membela kepentingan rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles