Kemenangan BN Seiring Dengan Tanggungjawab Untuk Rakyat Johor, Kata Najib

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak andaian beberapa pihak kononnya populariti yang dimilikinya menjadi pendorong kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor.

Sebaliknya beliau menyifatkan kemenangan BN merupakan sebahagian daripada kerja keras bersama jentera gabungan berkenaan.

“Walaupun kempen kita terhad dengan pelbagai prosedur operasi standard Covid-19 tetapi ia tidak menghalang rakyat Johor yang menyambut BN. BN disambut dengan teriakan, dengan penuh ghairah.

“Kalau itu yang ditunjukkan oleh pengundi, saya memang dari awal optimis kemenangan ini, cuma saya takut untuk berkata demikian kecuali simpan di dalam hati kerana bimbang dikatakan angkuh.

“Lebih daripada itu, saya mahu terus fokus berjumpa pengundi, berkempen kerana saya percaya insya Allah pasti ada yang di luar jangka,” katanya.

Sementara itu, Najib menggesa kemenangan BN dalam PRN Johor tidak diraikan secara keterlaluan kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk dipikul selepas ini terhadap rakyat dan negeri berkenaan.

“Bukan keriangan yang perlu diraikan dengan kemenangan ini kerana kita mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul supaya rakyat tidak menyesal memilih BN.

“Kita perlu ingat bahawa Pakatan Harapan pernah diberi tempoh 22 bulan sahaja dan Perikatan Nasional 17 bulan.

“Sudah tentu BN perlu berkhidmat dengan lebih baik lagi daripada itu supaya kita dapat buktikan yang keputusan pengundi hari ini adalah tepat dan betul,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles