Kemelut Politik Selama Empat Tahun Di M’sia Tak Berlaku Jika Tun M Tak Letak Jawatan – Agong

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang berlarutan di negara ini boleh dielakkan sekiranya semua ahli politik dan wakil rakyat bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu atas dasar menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga bertitah, kemelut yang memakan masa hampir empat tahun itu tidak akan berlaku jika peristiwa membawa peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri tidak berlaku.

Malah Al-Sultan Abdullah menegaskan baginda tidak pernah berhasrat mencampuri urusan atau mencatur landskap politik negara, namun baginda diheret ke dalam kancah politik akibat kemelut berkenaan.

“Hakikatnya, beta hanya melaksanakan amanah dan janji yang dituntut seperti mana yang telah beta lafaz dan ikrarkan.

“Beta tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara, apatah lagi untuk mengatur percaturan landskap politik tanah air.

“Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga akan dapat dielakkan.

“Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika ahli Dewan Rakyat dan ahli politik negara bersedia mengenepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Parlimen Ke-15, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga menegaskan, selepas 66 tahun kemerdekaan Malaysia sepatutnya sudah matang untuk menjadikan kemajmukan dan kepelbagaian sebagai kekuatan dan rencah utama dalam membentuk bangsa Malaysia yang saling menyayangi, menghormati antara satu sama lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.

“Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta rasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya,” titah baginda.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyambut baik permuafakatan dibentuk dalam kalangan pimpinan parti politik bagi membentuk kerajaan Perpaduan, selari dengan hasrat murni baginda untuk membentuk kerajaan yang stabil dan utuh.

Susulan itu, baginda mahu melihat kerajaan hari ini menumpukan usaha memastikan kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Beta menghargai pengenalan inisiatif negara MADANI yang merangkumi aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.

“Besar harapan beta agar prinsip itu diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah baginda.

Istiadat terakhir sebelum Seri Paduka berangkat pulang ke Pahang

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan istiadat pembukaan Parlimen Titah Diraja hari ini adalah yang terakhir buat baginda, sebelum dijadual menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari tahun depan.

Sehubungan itu, baginda mengambil kesempatan menitipkan pesanan terakhir kepada semua Ahli Dewan Rakyat dengan mengingatkan mereka supaya jangan bersikap hanya menilik balas dan menanti pujian.

Sebaliknya, Al-Sultan Abdullah berharap semua Ahli Parlimen akan menjaga nama baik dan kehormatan Dewan Rakyat dan berkhidmat setulus hati, dengan meletakkan rakyat dan masa depan negara sebagai keutamaan dan mengenepikan agenda politik sempit, selain bersatu hati atas nama perpaduan.

“Kestabilan landskap politik menerusi ikatan perpaduan dari ahli Dewan Rakyat hendaklah dijadikan sebagai manifestasi dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang gemilang.

“Sesungguhnya, perpaduan adalah penyatuan dalam perbezaan. Perpaduan adalah asas pembinaan kestabilan. Perpaduan adalah tiang kemakmuran. Perpaduan menyumbang kepada kemajuan. Perpaduan membawa kejayaan.

“Beta berdoa semoga Malaysia bersama rakyat yang beta kasihi akan terus hidup dengan penuh kerukunan atas dasar perpaduan dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada semua penjawat awam dan anggota barisan hadapan negara, khususnya tentera, polis dan petugas kesihatan yang berkhidmat secara profesional tanpa kenal penat dan lelah.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat beta yang telah hidup dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik kemurungan ekonomi dan kemelut politik yang melanda tanah air,” titah baginda.

Mengakhiri Titah Diraja, Al-Sultan Abdullah dilihat sempat mengusik Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pantun baginda.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,873FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini