Kembalikan Semula Kuasa Raja-Raja Melayu Seperti Sebelum 1993

Yang Dipertua SA Vigneswaran yang tamat tempoh sebagai speaker Dewan Negara hari ini menyeru kerajaan pusat agar menarik balik pindaan kontroversial pada tahun 1993 berkaitan kuasa raja-raja Melayu.

Dalam ucapan amanat di Bangunan Parlimen hari ini, Vigneswaran yang merupakan speaker Dewan Negara yang ke-14 berkata pindaan kontroversial itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan katanya seperti yang dilaporkan portal Malaysia Gazette hari ini.

“Saya sebagai Yang di-Pertua yang bersara untuk menyeru kepada kerajaan agar menarik balik pindaan kontroversial 1993 yang hangat didebatkan sehingga kini.

“Pada pendapat saya, (pindaan) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan di mana pindaan dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja dan telah mengurangkan kuasa Raja Melayu dan kedaulatan institusi diraja harus dikembalikan,” kata Vigneswaran.

Lantaran itu, katanya, kedaulatan institusi raja perlu dikembalikan semula.

“Kita harus mengembalikan kuasa Raja-Raja Melayu seperti pada zaman kemerdekaan.

“Dalam banyak-banyak perkara penting, kuasa Raja-Raja Melayu sangat diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis jamuan perpisahannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di Dewan Banquet, Parlimen di sini hari ini.

Untuk rekod, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat di bawah Kerajaan Barisan Nasional telah membuat pindaan kepada Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan tersebut telah melucutkan raja daripada kekebalan undang-undang kerana didapati bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan yang dilakukan itu menyaksikan perubahan itu termasuk mewujudkan mahkamah khusus untuk sultan yang melanggar undang-undang yang akan diadili oleh Majlis Raja-Raja.

Pindaan tersebut berkuatkuasa pada 30 Mac 1993.

Vigneswaran menambah, pergolakan politik hingga menyebabkan ketidakstabilan sebelum ini diselesaikan setelah adanya campur tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh sebab itu kuasa Raja-Raja Melayu perlu dikembalikan.

“Adalah menjadi hasrat saya sebagai bekas Yang Dipertua yang telah bersara untuk meminta pemerintah menarik kembali pindaan kontroversi tahun 1993 yang diperdebatkan sehingga hari ini,” ujarnya sambil memaklumkan ada membuat penyelidikan berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan speaker-speaker di Johor sebelum ini.

Tambahnya, sebagai sebuah negara majmuk, pemikiran ahli-ahli politik adalah berbeza-beza mengikut partisan tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada Raja-Raja Melayu.

BBerkaitan

Latest articles