Kemampuan Majikan Diambil Kira Dalam Pelaksanaan Kenaikan Gaji Minimum

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melaksanakan kenaikan gaji minimum dari RM1,200 kepada RM1,500.

Ini bertujuan supaya kedua-dua pihak majikan dan pekerja ‘terjamin’ sekiranya dasar itu dilaksanakan kelak.

Ujar Ismail Sabri, ada juga dalam kalangan majikan yang mampu untuk menaikkan paras gaji minimum dan ada yang tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian.

“Ada syarikat kecil yang tak mampu (naikkan upah RM1,500 sebulan), kita takut kalau dia tak mampu nanti dia akan buang pekerja dia.

”Nanti akan tambahkan bilangan pengangguran,” katanya kepada media selepas melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Sebelum ini, Presiden Kongres Ke­satuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan menyegerakan kenaikan gaji minimum berjumlah RM1,500 seperti dituntut golongan pekerja memandangkan sudah terlewat untuk merealisasikannya ketika negara sudah memasuki fasa tahun baharu 2022.

Dalam pada itu Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan telah meminta Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mengadakan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan persatuan majikan lain.

“Jadi sebelum kita umumkan, biar ada penerimaan daripada majikan. Kita tidak melidungi majikan, kepentingan kita adalah pekerja.

“Kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500 memang itu yang terbaik,” katanya lagi.

 KSM juga sudah melaporkan kepada Kabinet berhubung perbincangannya mengenai perkara itu minggu lalu.

KSM mengadakan perbincangan itu terlebih dahulu dengan pihak berkaitan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.

“Selepas itu, bentang dalam Kabinet untuk kita luluskan. Insya-Allah kita prihatin tentang kos sara hidup hari ini yang mungkin perlukan peningkatan.

“Bagaimanapun pelaksanaannya perlu mengambil kira tekanan perusahaan kecil dan sederhana, makro, sederhana dan sebagainya yang tak mampu (melaksanakan gaji minimum RM1,500).

“Akhirnya mereka buang pekerja kerana majikan tak mampu bayar gaji mereka.

“Jadi kita akan tengok pertimbangan keseluruhan, kepentingan pekerja dan dalam masa sama kita nak dengar pandangan daripada majikan juga,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles