Kemaman Hanya “Kepompong Kecil”, PN Usah Mimpi

KUALA LUMPUR: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) menerusi Prk Parlimen Kemaman, Sabtu lalu yang didakwa sebagai signal penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan disanggah oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain mengingatkan gabungan pembangkang itu tidak bermimpi di siang hari, Ahmad Zahid juga menyifatkan Kemaman hanyalah “kepompong kecil”, dimana Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menunjukkan pertambahan sokongan biarpun menang.

Katanya, pengurangan undi Barisan Nasional (BN) berlaku apabila pengundi putihnya kira-kira 10,000 tidak turun memilih.

“Kita tidak boleh anggap sebagai referendum, ini satu kepompong kecil di Kemaman, mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap satu referendum, kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari.

“Tidak ada peningkatan sokongan kepada calon PAS, tetapi terdapat kekurangan pengundi putih BN khususnya Umno, kira kira 10,000.

“Sebab itu bila hanya 68.3% sahaja pengundi putih Umno keluar mengundi maka ia menyumbang majoriti bertambah (kepada PAS) kerana undi kita tidak keluar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Transformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Ahmad Samsuri yang juga menteri besar Terengganu dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi, menewaskan calon BN, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Naib presiden PAS itu memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Affandi meraih 27,778 undi.

BBerkaitan

Latest articles