Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan selepas kereta yang dinaiki terbabas di Kilometer 20.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan pada Sabtu malam.
Lebih menyedihkan, kejadian itu hanya disedari oleh pihak penyelenggaraan Propel PLUS selepas 12 jam kemalangan berlaku iaitu pada jam 10.40 pagi Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Herry Mohd Ali dan Khairrunisa Azman yang masing-masing merupakan seorang jurutera dan pegawai kaunselor di sebuah hospital.
Dua orang anak pasangan suami isteri itu turut terlibat dalam kemalangan berkenaan namun dilaporkan hanya cedera ringan.
Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Caldina yang dipandu lelaki berkenaan gagal dikawal setelah tayar belakang di bahagian kiri pecah dan terbabas kira-kira 100 meter ke kiri bahu jalan, lalu melanggar sebuah pokok.
“Akibat daripada pelanggaran itu, pasangan suami isteri yang berada di bahagian pemandu dan penumpang depan tersepit manakala kedua-dua anaknya yang berada di belakang tercampak keluar berhampiran kereta, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua anaknya ditemui pengsan dan hanya mengalami kecederaan ringan,” demikian menurut Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.