KUALA LUMPUR: Ibu dan bapa kepada Allahyarham Muhammad Zulfan Iqbal, 16 hari ini menuntut satu siasatan yang adil berhubung kematian pelajar berkenaan yang dilaporkan lemas di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.
Zaiful Ibrahim, 53, dan isterinya, Zullaila Mahmud, 51, mempersoal sebarang perkembangan terkini yang tidak dimaklumkan kepada mereka sejak kejadian malang itu berlaku lima bulan lalu.
Menceritakan lebih lanjut, Zaiful berkata, berdasarkan apa yang dimaklumkan pihak sekolah, Muhammad Zulfan Iqbal yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu lemas ketika menjalani latihan pemulihan di kolam renang terjun SSTMI sedalam lima meter pada hari kejadian.
Ujarnya, laporan polis yang dibuat oleh jurulatih pasukan bola sepak sekolah berkenaan berhubung kejadian itu menjurus kepada kejadian kemalangan biasa.
Namun, ujarnya, berdasarkan maklumat saksi kejadian termasuk rakan-rakan anaknya, arwah telah tenggelam ke dasar kolam itu antara 15 ke 20 minit sebelum berjaya dinaikkan oleh seorang atlet renang yang berada di lokasi kejadian.
“Jadi timbul tanda tanya sekiranya kejadian menimpa anak kami ini adalah disebabkan kecuaian pihak tertentu, justeru kami mahu menuntut keadilan sewajarnya untuk arwah.
“Sikap berdiam diri pihak berwajib berhubung hasil siasatan kejadian ini sehingga kini juga menimbulkan persoalan seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
“Apatah lagi sehingga kini, tiada permohonan maaf daripada pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan (KPM) kepada keluarga kami susulan kejadian ini,” katanya memetik laporam MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu Zairul dan Zullaila membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Jalan Tun Razak hari ini, dan ditemani peguam mereka, Hafiz Norkhan.
Sementara itu, Hafiz berkata, kejadian kemalangan melibatkan kehilangan nyawa pelajar di premis sekolah berasrama penuh disifatkan amat serius dan tidak wajar dipandang ringan.
Jelasnya, sebarang kecuaian dalam aspek pemantauan, keselamatan dan tatacara latihan perlu ditangani secara menyeluruh supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.
Lebih mendukacitakan, ujarnya, kemalangan itu melibatkan seorang atlet berpotensi tinggi yang mana Muhammad Zulfan Iqbal yang bermain di posisi penjaga gol sebelum ini pernah mendapat perhatian pasukan remaja Johor Darul Takzim (JDT).
“Kita juga berharap keadilan sewajarnya dapat ditegakkan buat mangsa dan keluarganya memandangkan sehingga kini pihak keluarga langsung tidak menerima sebarang maklum balas rasmi sama ada daripada KPM atau polis berhubung kejadian yang menimpa anak mereka,” katanya.