Keluar Wang KWSP Mungkin Tak Perlu Secara Besar-Besaran, Kata Asyraf Wajdi

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan bahawa pengeluaran besar-besaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin tidak perlu dan hanya memadai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

Jelasnya, pada malam tadi beliau sempat menyuarakan beberapa isu yang menyentuh perihal kegusaran rakyat semasa bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

“Malam tadi sempat juga disuarakan beberapa isu yang menyentuh perihal kegusaran rakyat termasuk bersangkutan dengan tanggungan beban kewangan rakyat menjelang musim persekolahan baharu.

“Ya, walaupun ada yang sinis bahkan memerli dan mempertikaikan perjuangan kami waktu pemerintahan kerajaan terdahulu agar dibenarkan pengeluaran KWSP buat kali terakhir, sehinggakan kerajaan waktu itu akur dengan tekanan rakyat.

“Namun pada kali ini, pandangan peribadi saya mungkin tidak perlu pengeluaran besar-besaran secara pukal. Memadai kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja dan bersasar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Asyraf lagi, barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO tetap akan menjadi jurucakap rakyat meskipun beliau tidak akan lagi memegang jawatan sebagai ketuanya selepas ini.

“Perdana Menteri juga sudah mengumumkan bantuan tunai kepada rakyat untuk disalurkan sebelum menjelangnya penggal persekolahan baharu.

“Insya-Allah walaupun saya tidak lagi memegang jawatan selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selepas ini, dari semasa ke semasa perjuangan menyuarakan suara hati rakyat tetap diteruskan.

“Insya-Allah barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu juga akan tetap menjadi pemuda jurubicara rakyat,” katanya lagi.

Latest articles

Related articles

spot_img