Keluar Kata-Kata Seksis, Menghina & Perkauman Akan Didenda RM1,000

Ahli parlimen yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, seksis atau menghina dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang boleh didenda RM1,000 dan malahan boleh digantung, kata Speaker Johari Abdul.

Johari berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga akan ditubuhkan untuk mengawasi tingkah laku penggubal undang-undang.

Johari pada wawancara bersama Berita Harian yang disiarkan hari ini, menjelaskan peruntukan untuk mendenda ahli parlimen yang ingkar RM1,000 sudah wujud di bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Namun, ia tidak pernah digunakan. Malah, kita bercadang untuk meningkatkan lagi jumlah denda ini (melalui pindaan kepada akta itu).

“Selain itu, ahli parlimen yang terbabit juga boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, dengan hukuman maksimum digantung daripada parlimen selama enam bulan, yang jarang digunakan speaker sebelum ini,” katanya.

Kekecohan suara merupakan perkara biasa di Dewan Rakyat dan kenyataan menghina kadang-kadang dihamburkan.

Terdapat juga, ahli parlimen yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman atau seksis.

Menjadi amalan biasa untuk speaker meminta ahli parlimen memohon maaf atau menarik balik kenyataan mereka, walaupun ini kadang-kadang gagal mengatur kekecohan sedemikian.

Sementara itu, Johari berkata pihaknya akan mengeluarkan garis panduan untuk dirujuk oleh ahli parlimen berhubung kenyataan yang menyinggung perasaan.

Speaker berkata ahli parlimen yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan mencerminkan diri mereka sendiri, selain mengganggu prosiding parlimen.

Dia berikrar untuk menamatkan kekecohan seperti itu.

Parlimen akan bersidang pada 13 Feb dan akan bersidang dari Isnin ke Jumaat hingga 30 Mac.

Pengecualian adalah pada 24 Feb, apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2023 baru.

BBerkaitan

Latest articles