Keluar GTA Keputusan Bersama, Rafique Jawab Dakwaan Marzuki

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali mempertahankan keputusan parti itu keluar dari Gerakan Tanah Air (GTA) selepas dikritik kerana didakwa perkara itu tidak dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung GTA, Datuk Marzuki Yahya mendakwa Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hanya mempertimbangkan pandangan perwakilan Pejuang ketika perhimpunan agung pada Sabtu lalu.

Rafique kemudiannya menjelaskan keputusan keluar dari GTA dibuat oleh suara ahli akar umbi dari peringkat cawangan dan seterusnya ke peringkat persidangan negeri sebelum diangkat dan dibahas secara terbuka oleh perwakilan pada perhimpunan agung.

Katanya, semua komponen GTA dimaklumkan lebih awal bahawa Perhimpunan Agung Pejuang akan membincangkan dan mengundi isu itu.

“Keputusan untuk mengundur diri dari GTA dan memfokuskan kepada pemerkasaan parti bukanlah keputusan presiden Pejuang.

“Ia diputuskan secara kolektif oleh perwakilan yang hadir,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Marzuki juga mendakwa Mukhriz tidak berbincang perkara itu dengan kepimpinan tertinggi parti.

Menurut Rafique, dakwaan Marzuki hanya cubaan untuk mengeruhkan keadaan dan manipulasi fakta.

“Beliau hendaklah faham dan hormat konsep demokrasi,” katanya.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang dianggotai beberapa parti dan NGO Melayu serta ahli akademik dan juga profesional.

Antara anggota GTA termasuklah Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

GTA yang menumpukan kawasan majoriti Melayu bertanding di 115 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN pada pilihan raya umum lalu. Bagaimanapun, semua calon Pejuang termasuk Mahathir sendiri tewas dan hilang deposit.

BBerkaitan

Latest articles