Keluar “Fatwa” Harus Untuk Ahli UMNO Tinggalkan Parti, Muhyiddin Disiasat Berkaitan Isu 3R

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan disiasat mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni, demikian menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ini selepas Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen PRK Kemaman, baru-baru ini.

Presiden Bersatu itu dilaporkan mengeluarkan “fatwa” harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti, selain mengatakan bahawa mereka yang berbuat demikian akan mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW.

Ayob Khan memberitahu siasatan terhadap Muhyiddin dilakukan selepas polis menerima satu laporan yang dibuat terhadap Muhyiddin, Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan semua penyokong parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan ataupun perarakan pasca pilihan raya supaya tidak menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.

“Polis akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pascapilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 280 anggota dan pegawai polis akan memantau situasi ketenteraman awam selepas pilihan raya sehinggalah situasi berada dalam keadaan aman dan harmoni.

BBerkaitan

Latest articles