KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia berjaya meraih pelaburan tambahan sebanyak RM60 bilion dari Amerika Syarikat (AS) walaupun lantang menyokong Palestin.
Pelaburan itu diperoleh beliau ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco, California.
Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan sokongan terhadap Palestin bukanlah halangan untuk meraih pelaburan daripada mana-mana pihak.
Katanya, Presiden AS, Joe Biden menghormati pendirian Malaysia mengenai konflik peperangan di Gaza.
“Walaupun kita agak tegas dan lantang menyuarakan di hadapan Presiden Biden mengenai kesengsaraan rakyat Palestin, tapi, kita masih dapat pelaburan tambahan dari AS sebanyak RM60 bilion,” katanya ketika mengadakan lawatan di MIMOS hari ini.
Disebabkan itu, katanya, Malaysia perlu terus lantang menyuarakan perjuangan terhadap nasib rakyat Palestin yang terperangkap dalam konflik itu.
“Tidak ada soal lagi bila kita suarakan dengan lantang pembelaan nasib rakyat Palestin yang tertindas, bayi yang terbunuh, wanita jadi korban dan tiba-tiba ada pihak yang bertanya kenapa kita suarakan.
“Betul, banyak masjid musnah, tapi gereja juga musnah. Ini bukan masalah orang Islam atau Kristian, ini masalah manusia.
“Kita sebagai rakyat Malaysia harus menyuarakan hal sedemikian,” katanya.