Kelantan Turut Pertimbang Hukuman Sebat Di Khalayak

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Terengganu melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai semalam, kerajaan Kelantan kini mempertimbangkan untuk mengambil langkah yang sama.

Hal itu dimaklumkan exconya, Asri Mat Daud, dengan berkata Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 negeri yang dipinda pada 2017 antara lain membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

“Insya Allah akan diusahakan juga di Kelantan apabila mempunyai SOP (prosedur operasi standard) secara terbaik,” katanya memetik Berita Harian.

Asri menyifatkan hukuman sebatan syariah di masjid yang dilaksanakan kerajaan Terengganu semalam terhadap pesalah khalwat berulang ialah langkah mendidik masyarakat lebih serius dan berkesan.

Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu yang disebat di khalayak ramai.

Dia menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan 90 saksi.

Asri berkata hukuman sebat secara tertutup membabitkan kehadiran warden penjara saja sudah lama dilaksanakan di semua negeri.

Menurutnya, hukuman sebat secara terbuka mengikut tatacara syariah dengan had 70 saksi tidak bercanggah mana-mana peruntukan syariah.

“Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Terengganu atas pelaksanaan hukuman yang mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian hukuman berteras syariah.

“Semua pihak tidak perlu membuat sebarang naratif mengelirukan, termasuk mempolitikkan kaedah syariah yang mengikuti SOP. Malah, semua pihak perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan Terengganu untuk melaksanakannya.”

BBerkaitan

Latest articles