Kelantan, Terengganu, Kedah Bakal Menyaksikan Pertembungan UMNO-PAS

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik percaya isu ketidaksefahaman antara UMNO dan PAS berhubung pembahagian kerusi akan memberi kesan besar kepada kerjasama Muafakat Nasional (MN) sekaligus akan mendorong kedua-dua parti bertembung sesama sendiri di beberapa negeri dalam PRU15.

Negeri-negeri tersebut adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) percaya sokongan di peringkat akar umbi UMNO dan PAS adalah berbeza jika hendak dibandingkan dengan peringkat pusat.

“Di peringkat negeri, ini adalah cabarannya.

“Ahli UMNO di peringkat akar umbi di tiga negeri itu tidak mahu berkongsi kerusi dengan PAS dan PAS meminta lebih banyak kerusi kerana ia merasakan pengaruhnya kuat di situ,” demikian memetik FMT.

Mohd Azizuddin kemudian berkata, Terengganu telah menyaksikan keretakan antara dua parti itu selepas perbincangan diadakan.

“Kedua-dua pihak tidak bersedia untuk mengalah. Kedua-duanya menuntut lebih banyak kerusi dan perbincangan mungkin gagal,” katanya.

Malah beliau percaya keadaan yang sama berlaku di Kedah dan Kelantan juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

Baru-baru ini PAS Kelantan memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan pemimpin UMNO negeri pada 22 Januari ini untuk membincangkan kerjasama PRU15.

Mohd Azizuddin, seterusnya berkata, PAS sedar dan selagi boleh mahu kerjasama dengan UMNO diteruskan kepada percaya parti itu sendiri sukar menawan Putrajaya.

“Jadi sasaran utamanya ialah untuk menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ia mahu menuntut sebanyak mana kerusi yang boleh.”

Dalam masa yang sama penganalisis itu juga berpandangan tidak mustahil untuk UMNO dan PAS membawa haluan masing-masing sebelum PRU15, namun kerjasama mungkin dibentuk selepas pilihan raya.

“Namun, selepas PRU, mereka mungkin ‘meminang’ satu sama lain lagi kerana sedar tiada ada satu pun parti yang akan mendapat undi mencukupi untuk membentuk kerajaan.”

BBerkaitan

Latest articles