Kekurangan Telur Gred Kawalan Akibat Subsidi Rendah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mengakui masalah kekurangan bekalan telur gred kawalan pada masa ini disebabkan kadar subsidi rendah yang diberikan kepada pengeluar telur.

Beliau juga sedar akan kekurangan bekalan telur ayam gred kawalan mengalami kekurangan masa ini sepanjang tinjauan dilakukan pihaknya.

Malah pengeluar dan pengedar juga mendakwa subsidi tiga sen bagi telur gred kawalan A, B dan C tidak mencukupi berikutan kos ditanggung adalah lebih tinggi.

“Ini menyebabkan pengeluar lebih menumpukan kepada mengeluarkan telur gred premium yang harganya tidak dikawal, menyebabkan bekalan telur gred kawalan berkurangan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Berikutan itu, katanya, cadangan menaikkan subsidi tiga sen bagi telur ayam gred kawalan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Menurut Annuar, syor berkenaan dibincang dalam mesyuarat jawatankuasa itu hari ini, susulan beberapa kenyataan Ahli Parlimen pembangkang serta pengeluar berhubung kekurangan bekalan telur gred kawalan di pasaran.

Dalam pada itu, Annuar berkata ada beberapa syor kepada jawatankuasa termasuk mengapungkan harga telur gred kawalan itu.

Namun, katanya, jawatankuasa itu menolak syor berkenaan kerana harga gred kawalan perlu dikekalkan.

“Satu lagi cadangan adalah menyemak semua jumlah subsidi kepada pengeluar telur, iaitu tiga sen sekarang, kepada tahap baharu yang lebih besar.

“Oleh kerana ia di luar skop jawatankuasa untuk memberi kelulusan, ia akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok kerana membabitkan implikasi kewangan berikutan nilai yang diluluskan setakat ini adalah RM34 juta,” katanya.

Pada Julai lalu, persatuan penternak meminta kerajaan memberikan subsidi lapan sen bagi setiap telur ayam untuk membantu mengekalkan perniagaan penternakan telur dan memastikan keselamatan makanan negara.

Sejak 1 Julai lalu, kerajaan menetapkan harga siling pada 45 sen setiap telur ayam Gred A, 43 sen untuk Gred B dan 41 sen untuk Gred C.

BBerkaitan

Latest articles