Kekurangan Meruncing Telur Ayam Mampu ‘Runtuhkan’ Industri

KUALA LUMPUR- Isu telur ayam tidak mencukupi di pasaran bukan perkara baharu, malah sering diperdebatkan pengguna, peniaga dan penternak.

Kini, masalah itu tercetus lagi sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan pelbagi pihak mempersoalkan apakah punca di sebaliknya.

Memetik laporan GETARAN Pengarah Urusan ArisProp Holding Sdn Bhd, Datuk Haris Embong, iaitu penggiat bidang penternakan, punca isu terbabit bermula apabila penternak atau pengusaha industri berkenaan tidak dapat menampung kos dengan harga jualan ditetapkan di pasaran.

“Sebab utama ialah mereka tak boleh tampung kos pengeluaran berbanding dengan harga (siling) ditetapkan,” katanya

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sesetengah pengusaha kecil terpaksa gulung tikar, terutama apabila tidak menerima subsidi.

“Pada asasnya pembekal telur ayam sudah berkurang kerana rata-rata pengeluar telur ayam kecil-kecilan menghentikan operasi mereka, manakala penggiat industri besar mengurangkan pengeluaran.

“Jika pengeluaran dalam skala 10, permintaan telur ayam skalanya sembilan, bermaksud mereka boleh tampung permintaan.

“Tapi sekiranya pengeluaran sudah dikurang skala sehingga lima atau enam, jadi stok tidak mencukupi.

“Tidak dinafikan, di Malaysia ada sesetengah penternak tidak mempunyai lesen, jadi mereka terkecuali daripada mendapat subsidi. Dalam hal ini, ia menjadikan mereka terpaksa tutup (ladang),” katanya.

Pada masa sama, Haris melahirkan kerisauan berhubung kesan dihadapi pengguna, penggiat perniagaan dan negara, jika isu terbabit gagal dibendung.

Malah, katanya, apa paling dibimbangkan adalah industri pedaging termasuk telur ayam akan ‘runtuh’.

Justeru, beliau mengharapkan kerajaan baharu ‘turun padang’ mendengar keluhan penternak, menyelidik punca dan mencari penyelesaikan terbaik untuk isu terbabit.

“Industri penternakan pedaging (ayam) ini jika tak ambil tindakan dari sekarang, memang akan matilah (runtuh) industri ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Haris menjangkakan masalah itu boleh diselesaikan selepas suku tahun depan dengan menstabilkan harga dan permintaan telur, jika kerajaan prihatin dan mengambil tindakan segera untuk menanganinya.

“Ia mengambil masa lebih kurang tiga hingga empat bulan untuk menstabilkan semula harga telur di pasaran,” katanya.

Selain itu, beliau berharap kementerian akan ditubuhkan untuk memperkasa dan menangani isu pengguna, akan mencari mekanisma terbaik dalam menampung harga, meletakkan harga siling serta melihat jumlah permintaan dan pengeluaran untuk menstabilkan harga telur ayam.

“Semua penternak, mereka semua nak harga diapungkan pihak kerajaan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles