Kekuatan Kerajaan Perpaduan Dibuktikan Melalui PRK DUN Ayer Kuning

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak bakal menjadi penanda aras kekuatan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, susulan kejayaan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemenangan dalam PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota sebelum ini membuktikan kestabilan serta keserasian antara kedua-dua parti dalam gabungan tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan BN agar tidak terlalu yakin walaupun mempunyai kelebihan di Ayer Kuning, sebaliknya perlu terus memperkukuh perpaduan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Setiap PRK adalah penting, dan kali ini, ia menjadi satu lagi ujian terhadap kekuatan perpaduan serta Kerajaan Madani yang kita bina. Ada pihak yang masih mempertikaikan kerjasama ini, dan PRK ini adalah peluang untuk membuktikan keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sumbangan Kasih Ramadan, Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP, Bertam, semalam.

Dalam pada itu, Reezal Merican turut memaklumkan bahawa UMNO Pulau Pinang, khususnya UMNO DUN Bertam, akan menggerakkan jentera parti bagi memberi sokongan penuh kepada calon BN yang bakal diumumkan pada 7 April ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, akibat serangan jantung ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, pada 22 Februari lalu.

BBerkaitan

Latest articles