Kekosongan Kerusi DUN Lamag: Speaker Sabah Tunggu Masa Sesuai Maklum Pada SPR

KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag secara rasmi akan diisytiharkan kosong, namun pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dibuat pada masa sesuai bagi menghormati keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, berkata proses tersebut tidak wajar dilakukan tergesa-gesa memandangkan keluarga masih dalam tempoh berkabung.

“Kubur pun masih merah, bunga masih segar. Kita beri ruang kepada keluarga dahulu,” katanya sambil menjelaskan bahawa maklumat pengesahan kematian akan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara sebelum notis rasmi dihantar kepada SPR.

Mengulas tempoh pemakluman kekosongan itu, Kadzim berkata beberapa urusan penting perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk majlis angkat sumpah ADUN baharu dan pembentangan Belanjawan Negeri.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang berlangsung 29 November lalu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul parti dengan kerusi terbanyak iaitu 29, diikuti WARISAN (25) dan BN (6) daripada 73 kerusi keseluruhan.

Allahyarham Bung Moktar, yang mempertahankan kerusi Lamag dengan majoriti 153 undi, meninggal dunia pada Jumaat lalu sebelum sempat mengangkat sumpah sebagai ADUN.

Pada Oktober, Kadzim turut mengangkat sumpah sebagai Speaker untuk penggal kedua, berkhidmat sehingga tahun 2030.

BBerkaitan

Latest articles