Kekal Dalam Kabinet, Fadhlina Beri Jaminan Buat Lebih Baik

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meluahkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).

Terdahulu beliau sebelum ini disebut-sebut antara menteri paling berisiko digantikan dalam rombakan Jemaah Menteri.

Menurut Fadhlina, kepercayaan itu akan digalas dengan penuh tanggungjawab bersama timbalannya, Wong Kah Woh, demi memastikan agenda pendidikan negara dapat diperkukuhkan.

Beliau berjanji akan memperbaiki kelemahan serta meningkatkan prestasi kementerian demi kepentingan pelajar dan masa depan pendidikan negara.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan untuk meneruskan kepimpinan di KPM bersama timbalan. Kami akan lakukan yang terbaik untuk pendidikan dan anak-anak kita,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama pengamal media.

Pengumuman rombakan Jemaah Menteri hari ini menyaksikan Fadhlina kekal sebagai Menteri Pendidikan, sekali gus menepis spekulasi sebelum ini yang menjangkakan beliau bakal digantikan.

Penganalisis politik Akademi Nusantara, Dr Azmi Hassan, sebelum ini menyatakan Fadhlina antara menteri yang paling terdedah kepada perubahan, khususnya dalam kalangan menteri daripada Pakatan Harapan (PH).

Tekanan terhadap Fadhlina turut meningkat susulan beberapa insiden serius melibatkan pelajar sekolah, termasuk kes bunuh, rogol dan buli, yang mencetuskan desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kelemahan diri serta melihat kritikan tersebut sebagai dorongan untuk melakukan penambahbaikan.

Dalam ucapannya, Fadhlina menegaskan kritikan media yang berfakta dan membina bukan satu ancaman, sebaliknya elemen penting dalam sistem demokrasi yang sihat.

Menurutnya, media berperanan sebagai jambatan antara dasar kerajaan dan realiti di lapangan, termasuk di sekolah, komuniti pedalaman serta kawasan pulau.

“Kritikan yang jujur dan berasaskan fakta adalah suara rakyat. Ia perlu diterima dengan hati terbuka kerana daripada situlah penambahbaikan boleh dilakukan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles