Kejayaan Malaysia Kendali COVID-19 Dipuji Blinken

PUTRAJAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony J Blinken memuji kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan pandemik COVID-19 dan menghargai sumbangan negara kepada COVAX, sebuah inisiatif global untuk perkongsian vaksin.

Ujarnya, hasil kepimpinan dan kejayaan luar biasa itu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyumbang lebihan vaksin ke negara lain dan kepada COVAX.

“Ia bukti kepimpinan sebenar dan amat dihargai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ketika mesyuarat dua hala dengan Saifuddin, kedua-dua pihak menyentuh mengenai apa yang boleh dilakukan bersama untuk mengatasi cabaran semasa COVID-19 dan membuat persiapan lebih baik untuk menangani pandemik pada masa depan.

“Kita perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan sistem keselamatan kesihatan global. Jadi, pada masa akan datang kita lebih berupaya untuk mencegah, mengesan dan mungkin menangani pandemik baharu dengan lebih berkesan,” katanya.

Blinken tiba di Kuala Lumpur pada Selasa malam untuk mengadakan lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

Beliau berkata, AS sedang berusaha untuk melaksanakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada COVAX, supaya vaksin COVID-19 dapat diagihkan secara saksama.

“Menjelang 2022, AS menjangka untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin di seluruh dunia. Kami mempunyai komitmen untuk bantu apa yang boleh bagi menutup jurang vaksinasi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles