Kejayaan Dr Salmaan, Pakar Toksikologi PBB Yang Berasal Dari Terengganu

Seorang pakar dari Malaysia, Dr Salmaan Hussain Inayat Hussain, 52, mengharumkan nama negara sebagai seorang panel pakar Pertubuhan Pemakanan dan Pertanian Dunia (FAO) yang merupakan salah sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Salmaan merupakan pakar di dalam bidang kesan enapan racun makhluk perosak ke atas makanan yang bertugas untuk pertubuhan itu sejak 2012.

Beliau bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan bagi kesan enapan racun perosak dalam makanan yang digunapakai di seluruh dunia.

“Tugas saya adalah meneliti data toksikologi racun makhluk perosak yang dihasilkan oleh industri.

“Contohnya, sesebuah syarikat yang menghasilkan racun serangga, syarikat itu perlu menghantar data kepada WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), dan kami akan kenal pasti berapakah tahap selamat pengambilan racun serangga itu, terhadap makanan,” katanya kepada Bernama.

Memetik laporan Bernama, Salmaan yang juga Ketua Jabatan Pengawasan Produk dan Toksikologi di syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), turut melakar kejayaan cemerlang di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Jabatan Sains Kesihatan Alam Sekitar, School of Public Health, Yale University, Amerika Syarikat, dari tahun 2019 hingga 2023.

Mengimbau kembali kehidupan pada masa kecilnya, Salmaan Hussain seakan tidak percaya beroleh kejayaan seperti hari ini, kerana prestasi pembelajarannya semasa bersekolah pada mulanya tidaklah begitu memberangsangkan.

Katanya, selepas kematian mengejut bapanya Inayat Hussain Amir Mohammad, ketika beliau berusia tujuh tahun, ibunya Rais Fatima Abdul Razak, 79, yang hanya seorang suri rumah, bersendirian membesarkan dirinya bersama empat adik-beradik yang lain.

“Selepas ayah meninggal dunia, saya hilang semangat untuk ke sekolah. Pada waktu itu saya malas dan sering ponteng sekolah.

“Saya hanya tahu berbasikal dengan kawan. Saya pernah berbasikal dari Dungun ke Kuala Terengganu, dan boleh dikatakan pada waktu itu, agak nakal,” katanya.

Namun, segalanya berubah ketika beliau menginjak ke usia remaja, selepas abang sulungnya Dr Anis Ahmad yang ketika itu mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD), menyuntik semangat dan membimbingnya dalam pelajaran terutama subjek Sains dan Matematik.

Sejak itu, Salman Hussain mula menunjukkan prestasi cemerlang dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan seterusnya menjadi pelajar terbaik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dungun.

Sebaik berjaya menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Farmakologi, beliau tidak menoleh ke belakang lagi sehinggalah memperoleh PhD dalam bidang toksikologi.

“Saya berpegang kepada prinsip, untuk berjaya, seseorang itu perlu mempunyai keazaman yang tinggi di samping sentiasa berfikir positif.

“Sekiranya kita fikir kita sedang gagal, kita kena ingat kegagalan itu bukan untuk selamanya. Ia adalah cabaran untuk diatasi demi mencapai kejayaan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan bidang toksikologi di Malaysia, Salmaan Hussain berkata, ia masih belum berkembang luas di negara ini, yang mana kebanyakan syarikat di Malaysia masih belum mempunyai ahli toksikologi, yang berkhidmat secara tetap.

“Di PETRONAS, pasukan saya (Jabatan Pengawasan Produk &Toksikologi) mempunyai 12 kakitangan termasuk empat ahli toksikologi.

“Sesetengah syarikat seperti syarikat makanan atau kosmetik, mungkin mempunyai seorang atau dua orang ahli toksikologi. Berbanding di luar negara, kebanyakan syarikat yang berkaitan bahan kimia, mempunyai ramai ahli toksikologi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles