KLUANG: Ahli Majis Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub melahirkan keyakinan gelombang orang Melayu dan pengundi muda dalam skala besar seperti yang berlaku pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang menyaksikan kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) turut akan berulang di PRK DUN Mahkota.
Ditemui pemberita di ziarah kasih di beberapa buah rumah penduduk setempat, Ahmad Jazlan berkata keyakinan itu bersandarkan realiti politik semasa yang mana orang Melayu dan pengundi muda semakin yakin dengan kemampuan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Anak-anak muda khususnya mesti memikiran soal masa depan mereka di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini yang mana telah berjaya membawa masuk pelaburan asing antara yang tertinggi dalam negara sekali gus dapat merancakkan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan buat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menepis dakwaan kononnya wujud masalah dalaman UMNO negeri sepanjang kempen PRK DUN Mahkota ketika ini yang mungkin tidak memberi kelebihan kepada parti tersebut.
Jelas beliau, desas-desus itu sengaja ditimbulkan pembangkang untuk melemahkan moral dan semangat jentera parti khususnya dari negeri-negeri lain yang datang membantu kempen PRK kali ini.
Mengulas mengenai kempen PRK itu juga, Ahmad Jazlan berpandangan pengundi DUN Mahkota sangat matang dalam membuat keputusan dan kekal menyokong calon BN.
Bahkan tegasnya tidak ada sebab untuk pengundi mahu merubah wakil rakyat mereka kepada parti yang tidak sealiran dengan pentadbiran kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat, kerana sekiranya berlaku ia pasti merencatkan segala usaha pembangunan yang dirancang untuk dibawa ke kawasan DUN tersebut demi manfaat penduduknya.
“PRK DUN Mahkota ini tidak akan merubah kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat, jadi tidak ada sebab untuk pengundi di sini tidak mahu terus sealiran dengan pentadbiran kerajaan negeri di bawah BN atau dengan Pusat di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Saya yakin pengundi Mahkota cukup matang dan mementingkan isu-isu yang memperjuangkan nasib mereka seperti ditekankan Kerajaan Perpaduan berbanding isu-isu lapuk yang dibawa pembangkang yang jelas merugikan mereka,” katanya.