Kehilangan Pamela – SPRM Serah Siasatan Kepada Pihak Polis

KUALA LUMPUR,  – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan bahawa siasatan berhubung kehilangan Pamela Ling Yueh, wanita berusia 42 tahun yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 9 April lalu, kini diserahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Ahad, SPRM menjelaskan bahawa Pamela telah dipanggil bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Bagaimanapun, wanita terbabit gagal hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada tarikh tersebut serta peranti komunikasinya gagal dihubungi oleh pegawai SPRM. Satu laporan polis turut dibuat oleh peguam yang mewakili wanita itu pada hari sama,” menurut kenyataan tersebut.

Susulan laporan itu, SPRM menyerahkan sepenuhnya usaha pengesanan kepada pihak polis dan menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

Tiada Petunjuk Baharu, 12 Orang Telah Dirakam Keterangan

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan bahawa siasatan masih giat dijalankan, namun sehingga kini belum ada sebarang petunjuk baharu mengenai keberadaan Pamela.

“Setakat ini seramai 12 individu telah dirakam percakapan. Polis tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Pamela dijadualkan hadir ke SPRM pada jam 2.00 petang 9 April lalu dan dilaporkan menghantar pesanan WhatsApp kepada peguamnya pada jam 1.57 tengah hari memaklumkan bahawa beliau sedang dalam perjalanan menaiki perkhidmatan e-hailing.

Namun selepas itu, semua usaha untuk menghubunginya gagal. Menurut adik mangsa, Simon Ling Wan Siong, mesej WhatsApp tidak sampai dan panggilan telefon tidak dijawab. Pihak Grab Malaysia mengesahkan perjalanan tersebut telah ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut mengenai lokasi terakhir mangsa.

BBerkaitan

Latest articles