KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas merangkap peserta misi kemanusiaan flotilla ke Gaza, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, menyatakan sokongannya terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan depan.
Menurut Rahmat, kunjungan Trump memberi ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan bantahan terhadap dasar AS mengenai Palestin, secara langsung di tanah air sendiri.
“Walaupun Trump tidak peduli dengan kecaman kerana sudah puluhan pemimpin mengecam AS di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kali ini Malaysia boleh tampil lebih gagah mengecam di rumah sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Rahmat Sumud Nusantara.
Dalam masa sama, Rahmat mengakui terdapat pandangan yang menyifatkan kehadiran Trump seolah-olah menampakkan Malaysia tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Namun, beliau percaya penduduk Gaza melihat Malaysia sebagai negara berjiwa besar, apatah lagi menjadi penaung rasmi inisiatif Sumud Flotilla.
“Malah Malaysia satu-satunya negara Islam yang berani menjadi penaung rasmi misi ini, hingga digelar ‘enemy state’ oleh rejim Israel,” jelasnya.
Rahmat turut menyokong idea menjadikan kehadiran Trump sebagai ruang untuk rakyat Malaysia menunjukkan penolakan terhadap dasar AS melalui demonstrasi.
“Ia ibarat memanggil keluarga si pembuli anak kita ke rumah untuk minum petang, dan sebelum diberi teh, kita mulakan bicara. Teh ini pahit kerana tiada gula untuk orang yang menyakiti anak saya,” katanya dengan kiasan.
Selain isu Palestin, Rahmat berpandangan lawatan Trump turut memberi pengiktirafan kepada kepentingan ASEAN dalam ekonomi global.
“Kita rugi jika tidak menggunakan kesempatan ini untuk berbincang mengenai tarif dan polisi berkaitan semikonduktor,” tambahnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Trump sudah mengesahkan kehadirannya ke sidang kemuncak yang dijadual berlangsung Oktober depan.
Bagaimanapun, perkara itu menerima tentangan daripada beberapa pihak termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menilai jemputan terhadap sekutu kuat Israel itu bercanggah dengan pendirian tegas Malaysia dalam membela Palestin.