Kedutaan Senegal Puji Usaha Kerajaan Malaysia Tangani COVID-19

Kedutaan Senegal memuji usaha dan mekanisme berterusan Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak pandemik COVID-19, yang menyaksikan ramai pesakit sembuh.

Dutanya ke Malaysia Fatou Danielle Diagne berkata pendekatan diambil kementerian itu berjaya menjadikan Malaysia antara negara yang berupaya mengekalkan kadar kematian yang rendah.

“Kami memuji inisiatif kerajaan Malaysia untuk meratakan lengkung penularan COVID-19 demi keselamatan dan kesihatan rakyat serta warga asing yang tinggal di Malaysia,” kata Diagne kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Diagne mengesahkan tiada warga Senegal terkandas di Malaysia akibat sekatan perjalanan.

Setakat ini juga tiada laporan mengenai warga Sinegal yang positif COVID-19 dan kedutaan akan terus memantau.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa mulai 18 Mac, kedutaan telah menasihatkan komuniti Senegal terutama penuntut dan pekerja sektor swasta untuk senantiasa mematuhi semua peraturan ditetapkan. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles