Kedutaan Arab Saudi Sahkan Tiada Larangan Untuk Abdul Hadi Seperti Yang Didakwa

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan kenyataan tular yang mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya dilarang memasuki Arab Saudi adalah palsu.

Mohd Na’im berkata beliau sendiri menghubungi Kedutaan Arab Saudi bagi mendapatkan maklum balas semalam.

“Saya telah hubungi Kedutaan Arab Saudi semalam untuk dapatkan kepastian. Saya dimaklumkan oleh Timbalan Duta Besar Arab Saudi bahawa kenyataan tular itu adalah palsu,” katanya pada sidang media, selepas menyambut seramai 270 jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 1.30 tengah hari tadi.

Mohd Na’im, dalam masa yang sama meluahkan rasa hairan mengapa pihak berkenaan membuat dakwaan yang tidak benar itu.

“Hanya Allah yang tahu (niat pihak tidak bertanggungjawab), namun saya harap semua pemimpin politik dan mereka yang dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat berkempen secara sihat,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan setiap ahli politik tidak mengamalkan kempen fitnah, mencerca pihak lawan dan menjatuhkan maruah orang lain terutama ketika musim PRN ini.

“Paling utama ialah kita tumpu kepada polisi dan dasar yang ingin dibawa kepada rakyat tanpa memprejudiskan pihak lain,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles