KUALA LUMPUR: Pemuda Umno mengesahkan Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, direhatkan daripada semua tugas parti berkuat kuasa serta-merta susulan kontroversi membabitkan bekas isterinya yang tular di media sosial.
Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin, berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan sensitiviti isu yang melibatkan hal peribadi dan bukan urusan parti.
“Parti memandang serius perkara ini, namun memandangkan ia melibatkan urusan peribadi, lebih wajar dan profesional untuk beliau menyelesaikannya sendiri,” katanya memetik FMT.
Hafiz turut menegaskan bahawa langkah merehatkan Shahrul tidak ada kaitan dengan sebarang aktiviti politik, sebaliknya dibuat bagi menjaga imej dan integriti organisasi.
Isu berkenaan tercetus apabila bekas isteri Shahrul, Datin Amyera, yang juga seorang usahawan, memuat naik beberapa hantaran di Instagram mendedahkan dakwaan berhubung perkahwinan mereka sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Sebagai reaksi, Shahrul tampil mengeluarkan kenyataan di Instagram semalam dengan menegaskan beliau enggan memperpanjangkan isu itu di ruang awam.
Beliau turut mengesahkan bahawa mereka telah bercerai secara sah pada 30 Julai 2024, dan meluahkan kekesalan kerana perkara peribadi tersebut menjadi tontonan umum.
“Isu ini bukan sahaja mencemarkan maruah saya, tetapi juga keluarga dan tunang saya yang langsung tidak terlibat,” katanya.










