Kebakaran: PM umum peruntukan tambahan baiki asrama SMKA Dato Haji Abu Hassan Haji Sail

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan hampir RM900,000 bagi membaik pulih kerosakan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas di sini yang terbakar pada Julai tahun lalu.

Perdana Menteri berkata, sebelum ini, kerajaan meluluskan peruntukan hampir RM3 juta dan dengan peruntukan tambahan itu, sekolah berkenaan menerima bantuan sebanyak RM3.89 juta.

“Melihat keadaan asrama, bumbung dan surau, saya dapati ada keperluan untuk menambah peruntukan sedia ada kerana peruntukan hampir RM3 juta yang diluluskan sebelum ini dilihat tidak mencukupi, dan saya akan minta Menteri Besar bincang dengan Pengarah JKR serta Kementerian Kewangan untuk memberikan kelulusan khas,” katanya ketika berucap di Dewan Utama SMKA Dato Haji Abu Hassan Sail, di sini, hari ini.

Asrama lelaki sekolah berkenaan terbakar pada 31 Julai tahun lalu dan menyebabkan sebahagian tingkat tiga bangunan tersebut musnah termasuk kira-kira 10 bilik di bangunan tersebut.

Namun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran berpunca daripada kerosakan lintar pintas.

Perdana Menteri turut mengarahkan pelaksanaan kerja-kerja membaikpulih fasiliti asrama lelaki di sekolah berkenaan disegerakan bagi membolehkan pelajar tidak mengalami sebarang kkesulitan dalam pembelajaran.

Selain itu peruntukan sebanyak RM310,000 ditambah bagi menaiktaraf kemudahan bilik guru dan surau.

“Saya lihat sekolah ini tidak daif umpamanya dari segi prasarana, cuma agak sederhana kalau lihat asramanya, kerosakan itu luar biasa dan kemudahan agak minima tetapi masih mampu kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar dan dedikasi pelajar untuk mengangkat martabat sekolah ini sehingga mampu menjadi sekolah yang cemerlang,” katanya.

Terdahulu, Anwar tiba pada jam 12.20 tengah hari di sekolah tersebut dan turut meninjau keadaan pasca insiden kebakaran tingkat tiga asrama berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles