KUALA LUMPUR: Kekalahan teruk UMNO-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2018 yang menyaksikan parti itu hampir dibubarkan di Sabah, hari ini UMNO Sabah kembali bangkit dengan keahliannya meningkat sekali ganda.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jumlah ahli UMNO negeri itu kini mencecah 600,000 orang, berbanding kira-kira 400,000 ahli pada tahun 2018.
Bung menyifatkan situasi ini membuktikan bahawa UMNO Sabah semakin mendapat kepercayaan rakyat dan kini bersedia menjadi saingan utama kepada parti-parti lain di negeri itu.
“Meskipun UMNO Sabah sering dilabel dengan pelbagai tohmahan seperti ‘parti Malaya’ dan sebagainya, hakikatnya keahlian kita terus bertambah. Ini menunjukkan bahawa rakyat masih percaya kepada perjuangan UMNO,” katanya, seperti dipetik laporan UMNO-Online hari ini.
Tambah beliau, UMNO Sabah kini menjadi ancaman kepada parti lain kerana ia terus mendapat sokongan walaupun pernah melalui tempoh sukar selepas PRU 2018.
“Ketika UMNO hampir dibubarkan pada 2018, keahlian kita hanya berbaki sekitar 390,000. Namun, hari ini, jumlah ahli telah meningkat kepada lebih 600,000. Ini menunjukkan setiap hari ada individu yang memilih untuk menyertai UMNO,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa Program Gerak17 yang dilaksanakan di pelbagai peringkat, termasuk di Bahagian dan Dewan Undangan Negeri (DUN), mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat.
“Ketika saya berada di Sebatik bersama kepimpinan UMNO yang lain, kehadiran masyarakat setempat sangat menggalakkan. Kesanggupan mereka bersama-sama dalam program ini amat dihargai, membuktikan bahawa sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional masih kukuh.
“Mereka merindui UMNO yang suatu ketika dahulu menjadi kerajaan. Kini, mereka merasakan sudah tiba masanya untuk mengembalikan kekuatan UMNO bukan sahaja di Sebatik, tetapi di seluruh negeri Sabah, insya-Allah,” katanya.