Keahlian UMNO Noh Digantung Enam Tahun

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat malam ini memutuskan untuk menggantung keahlian bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, selama enam tahun.

Selain Noh, beberapa pemimpin parti itu yang dilihat bertindak ‘mensabotaj’ bakal dikenakan tindakan sama ada dipecat atau digantung keahlian.

Noh, dalam pada itu tidak memperincikan bilangan atau identiti pemimpin yang dikatakannya terbabit dalam tindakan yang diputuskan parti itu.

Bagaimanapun beliau memaklumkan hal penggantungan itu diumum sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui ucapan mukadimah ketika Mesyuarat MKT malam ini.

“Malam ini, sejarah bagi saya kerana tadi dalam ucapan mukadimah, Presiden (Ahmad Zahid) sudah mengumumkan berapa yang dipecat dan digantung.

“Dalam makluman itu, tiba-tiba tersenarai nama saya, digantung enam tahun.

“Ramai lagi tersenarai, tunggu sahajalah saya tidak mahu umum (berapa ramai dan siapa yang dikenakan tindakan),” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu malam ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kenyataan itu yang secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan dalam MKT UMNO malam ini.

Dalam pada itu, Noh mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya memecat keahliannya terus daripada parti.

BBerkaitan

Latest articles