KDN Tegaskan Kewarganegaraan 7 Pemain Ikut Undang-Undang, Tiada Sebab Bimbang

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa proses pemberian kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dilakukan secara sah, teliti dan mengikut lunas undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan semua pihak tidak perlu gusar kerana setiap permohonan diteliti berdasarkan ketetapan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau buat mengikut peraturan, apa yang perlu dirisaukan? Ukuran betul itu jelas rujuk Perlembagaan Persekutuan, akta dan undang-undang yang sedia ada,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias turut meneliti dengan teliti semua prosedur sebelum kelulusan diberikan.

“Semua dibuat ikut saluran yang sah. Kecuali kalau kita tolak ke tepi Perlembagaan, akta pun tidak dipakai, main redah barulah ada masalah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berdepan tindakan tatatertib FIFA selepas didakwa menyerahkan dokumen dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

FIFA kemudian mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain; Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano turut digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) seorang.

BBerkaitan

Latest articles