LENGGONG: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, KDN terbuka untuk berbincang dan mendengar pandangan daripada semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Shamsul berkata, perbincangan itu bertujuan untuk memberikan maklumat jelas selain untuk mengelakkan salah faham berkaitan undang-undang di negara ini, termasuk Sosma.
“Kami sedia dengar pandangan dan buka peluang untuk NGO datang (berjumpa) supaya kami boleh beri maklumat agar mereka faham.
“Mereka mungkin tidak dapat maklumat tepat. Jadi, kami boleh kongsi maklumat,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu selepas merasmikan Festival Lenggong GeoPark di Laman Budaya Lenggong.
Jelas beliau, apa saja undang-undang yang digubal, ia dibuat demi kepentingan rakyat dan negara.
Semalam, Naib Presiden Muda, Zaidel Baharudin berkata, kerajaan patut menyemak semula Sosma dan tampil dengan undang-undang baharu yang lebih bagus.
Zaidel menyifatkan Sosma sebagai undang-undang yang sangat berat sebelah, malah kuasa menyeluruh melingkari akta itu membolehkan ia terdedah kepada penyalahgunaan.