KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan wujud unsur buli, pengabaian serta gangguan seksual dalam siasatan kes kematian tragis pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh selepas polis merakam keterangan daripada 195 saksi, termasuk rakan, guru, warden dan pegawai perubatan.
“Saya tidak menolak dakwaan bahawa memang ada elemen buli. Ya, saya sahkan ada. Begitu juga dengan pengabaian kerana arwah pernah membuat aduan kepada pihak sekolah,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin menjelaskan, selain keterangan saksi, pihak polis turut memperoleh bahan penting termasuk diari setebal 51 halaman milik arwah, yang diserahkan oleh seorang guru kepada pihak berkuasa.
“Dalam catatan itu, Zara meluahkan isi hati dan masalah yang sedang dihadapinya. Siasatan juga meneliti keterangan rakan-rakan sebilik mengenai apa yang berlaku pada 14 dan 15 Julai lalu, sebelum kejadian tragis itu,” katanya.
Menurut beliau, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pagi tadi untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini turut menetapkan prosiding inkues akan bermula awal September bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar berusia 13 tahun itu.
Zara Qairina sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, keesokannya.