ARAU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sehingga kini tiada sebarang laporan diterima berhubungan dakwaan kebocoran data peribadi milik 800,000 pengundi yang dikatakan diperoleh dari MySpr.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, siasatan berhubung dakwaan ini akan dilakukan sekirannya terdapat laporan polis dibuat.
“Setakat ini juga belum ada laporan polis dibuat dan sekiranya ada, kita akan melakukan penyiasatan terhadap isu ini.
“Namun apa yang saya hendak tekankan di sini adalah data yang diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah nama dan nombor kad pengenalan saja dan sekiranya tertera sekali dengan nombor telefon bererti ia adalah satu bentuk penipuan,” katanya selepas menyampaikan ceramah Program Jelajah Perikatan Nasional (PN) bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke Negeri Perlis di Bilik Gerakan Utama PN Arau, Hutan Kandis di Guar Sanji, di sini hari ini.
Turut hadir, penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengerusi PN Perlis, Shukri Ramli dan Naib Pengerusi 1 PN Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Sebelum ini, media melaporkan lebih 800,000 data pengguna didakwa diperoleh daripada sistem MySPR SPR dijual pada harga RM9,401 di pangkalan data terkenal.
Berdasarkan laporan di lowyat.net, difahamkan terdapat pangkalan data itu memiliki gambar swafoto dan MyKad yang menggunakan sistem elektronik Kenali-Pelanggan-Anda (e-KYC).