KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan rasmi terhadap akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, susulan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April yang disifatkan sebagai kecuaian serius dan tidak boleh diterima.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan,” menurut kenyataan KDN hari ini.
KDN turut memanggil wakil Sin Chew Daily bagi memberikan keterangan dan telah menyerahkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pihak berkenaan.
Dalam kenyataan itu, KDN menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan dan keharmonian negara, lebih-lebih lagi melibatkan lambang kedaulatan seperti Jalur Gemilang.
“Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, tetapi lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional yang wajib dihormati serta dimartabatkan,” tegas kementerian.
Pelbagai pihak mengecam kesilapan grafik yang dilakukan Sin Chew Daily, termasuk ada yang menggesa supaya lesen penerbitan syarikat itu dibatalkan serta-merta.
Terdahulu, Sin Chew Daily mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas “kesilapan teknikal” dan memaklumkan versi digital telah diperbetulkan, manakala versi bercetak yang diperbetulkan diterbitkan semula keesokan harinya.