Bekas menteri besar Johor, Datuk Osman Sapian mendakwa kehadirannya dalam satu acara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Johor, dua hari lalu sebagai memenuhi jemputan rakan-rakan lama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar yang tular memaparkan dirinya bersama pemimpin-pemimpin Pejuang, selain sedang berdiri di atas pentas seperti memberikan ucapan.
“Saya pergi kerana memenuhi jemputan kawan-kawan lama yang kebanyakannya dahulu adalah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Mereka mahu tahu kedudukan sebenar saya dalam BERSATU dan bersimpati dengan saya.
“Mereka ucap terima kasih kerana bersama di Slim baru-baru ini dan mereka belanja makan. Itu sahaja,” katanya memetik laporan BH.
Osman, yang didakwa masih ahli Bersatu mula mencetuskan kontroversi apabila hadir ke kempen calon yang disokong Pejuang untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.
Lembaga Disiplin Bersatu pada tiga hari lalu memaklumkan ADUN Kempas itu masih ahli parti namun akan memanggil Osman untuk memberikan keterangan.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) menguasai 29 kerusi manakala pembangkang, 27 kerusi.
Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.