Kawalan Keselamatan Di Pusat Beli-belah, Lokasi Tumpuan Digesa Dipertingkat

KUALA LUMPUR: Susulan kejadian tembakan di Setia Alam malam tadi, polis menggesa kawalan keselamatan di setiap pusat beli-belah dan lokasi tumpuan awam di seluruh negara diperketatkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi berkenaan telah diarah sentiasa berwaspada ke atas apa jua aktiviti mencurigakan.

“Berkenaan kejadian semalam, polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen polis sedang berada di lapangan untuk mengesan keberadaannya.

“Kami juga telah memaklumkan kepada polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berwaspada,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau memberi jaminan keselamatan orang awam menjadi keutamaan dan segala usaha sedang dilakukan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

“Kami faham bahawa timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat susulan kes ini, namun kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan,” katanya.

Malam tadi, seorang pekerja pembersihan sebuah pusat beli-belah di Setia Alam cedera ditembak. Suspek warga tempatan berusia lewat 30-an dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya lapan das tembakan, dalam kejadian pada 10 malam.

Suspek kemudian melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dan mengarahkan diturunkan di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Polis sudah mengenal pasti suspek menerusi risikan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan gerakan mengesan sedang giat dilakukan.

Suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

BBerkaitan

Latest articles