KUALA LUMPUR: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa isu terkait dengan Datuk Seri Najib Razak menjadi punca mengapa pengundi India tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tahun 2018 yang lalu.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan juga berkata adalah tidak mustahil untuk BN kekal berkuasa pada PRU14 jika Najib juga idak bertanding ketika itu.
Beliau berkata, masalah berkaitan imej Najib menjadi faktor penyumbang kepada peralihan sokongan pengundi India terhadap BN.
“Jika beliau mengumumkan tidak bertanding, saya rasa mungkin BN akan mengekalkan kuasa. Tetapi kedudukan Najib, 1MDB, cukai barangan dan perkhidmatan dan banyak isu lain dimainkan oleh pembangkang, jadi orang India beralih,” kata Saravanan memetik FMT.
Malah peralihan sokongan BN kepada Pakatan Harapan (PH) semakin diburukkan lagi dengan gabungan pembangkang itu membuat banyak “janji kosong” seperti menyelesaikan isu kad pengenalan merah dalam kalangan kaum India Malaysia.
Bagaimanapun janji itu gagal juga dilakukan semasa tempoh 22 bulan gabungan itu dalam kerajaan.
“Dan kini mereka berkata 22 bulan itu tidak cukup, ia bukan Dr Mahathir Mohamad atau orang lain yang berkata demikian,” kata Saravanan.
Pemimpin PH berkata terdapat banyak “sampah” yang perlu dibersihkan – tetapi sampah itu dicipta oleh Mahathir, kata Saravanan.
“Perdana menteri yang sama yang berada di sana selama 22 tahun dan mereka membawanya kembali semula, dia sepatutnya membersihkan (sampah) dalam masa sehari. Jadi kaum India rasa tertipu selepas itu,” katanya.
Saravanan berkata sokongan kaum India telah kembali memihak kepada BN semasa pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“Mereka merasakan, saya fikir, “adalah lebih baik bersama syaitan yang dikenali daripada bersama malaikat yang tidak dikenali”. Sebab itu mereka menyokong kami di Melaka dan Johor,” katanya.
Pilihan raya umum pada 19 Nov akan menyaksikan pembangkang menghadapi nasib yang sama, dengan lebih banyak sokongan berbalik kepada BN, katanya.