Karnival Wanita Bangkit@KPWKM Manfaatkan Lebih 47,000 Usahawan Wanita, Tingkatkan Ekonomi Keluarga

KUALA LUMPUR: Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dengan menghubungkan wanita kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawanan.

Sejak dilancarkan pada 1 September tahun lalu, ia telah berjaya dimanfaatkan oleh seramai 46,426 usahawan wanita di seluruh negara.

Perkembangan itu amat memberangsangkan, terutama selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata program sebegini amat penting dalam memperkasa wanita melalui penganjuran aktiviti-aktiviti pembangunan kapasiti yang berteraskan Kesaksamaan dan Kepimpinan; Kewangan; Keseimbangan dan Kemahiran.

“Usaha ini adalah merupakan inisiatif berterusan KPWKM di mana Wanita Bangkit@KPWKM telah berjaya menghubungkan dan memberi peluang pekerjaan kepada 11,055 wanita dalam kedua-dua sektor formal dan informal dan menyediakan 35,371 wanita dengan pengetahuan berterusan khususnya dalam pengurusan kewangan sejak program ini dimulakan iaitu dari September 2021 sehingga Julai 2022.

“Jumlah itu dilihat memberangsangkan terutamanya selepas peralihan negara
daripada fasa pandemik ke endemik. Secara keseluruhannya, sejumlah hampir 47,000 orang telah mendapat manfaat daripada program Wanita Bangkit@KPWKM ini,” katanya.

Menurut Rina, usaha untuk memperkasakan semula ekonomi kumpulan sasar dan meningkatkan taraf hidup mereka khususnya golongan usahawan wanita akan diperluaskan selepas ini ke Sabah pada September ini.

Manakala zon Pantai Timur pula dijadualkan pada Oktober depan.

Sementara itu, Rina turut menjelaskan dapatan Kajian Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berkenaan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang berada pada skor 6.48.

Kajian berkenaan menyentuh aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual yang mendalami sudut kestabilan ekonomi.

“Kegagalan menguruskan ekonomi menjadi salah satu faktor kegagalan dan keruntuhan institusi rumah tangga. Ia juga menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pengabaian tanggungjawab berkaitan nafkah, pendidikan anak-anak, hutang yang tinggi dan sebagainya. Saya melihat isu ekonomi keluarga sebagai satu perkara yang perlu diselesaikan, atau sekurang-kurangnya ditambah baik” ujar beliau.

Justeru, perlaksanaan program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM ini adalah bertepatan kerana ia memberi peluang wanita yang juga merupakan tonggak keluarga berdikari dari segi pendapatan dan turut menyumbang kepada ekonomi keluarga.

Sementara itu, antara aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan di Karnival Wanita Bangkit@KPWKM di Sepang hari ini adalah sesi temuduga secara terbuka, sesi perkongsian daripada usahawan melalui slot pentas, pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma dan peluang khidmat nasihat daripada pihak MARA mengenai pelbagai inisiatif yang ditawarkan.

Turut disediakan pelbagai kaunter perkhidmatan oleh agensi-agensi Kerajaan untuk manfaat pengunjung.

Hadir sama di program hari ini adalah Datuk Dr. Maziah Che Yusoff Ketua Setiausaha KPWKM, Dato’ Haji Suhaimi Mohd Ghazali Pengerusi LPPKN dan Dr. Zurina Abdul Hamid, Ketua Pengarah JPW.

BBerkaitan

Latest articles